Pendakwah atau petugas mesti berusaha terapkan pembawaan
sederhana, bersikap mencegah MAKSUD amar makruf ialah mengajak manusia
melakukan perkara kebaikan, manakala nahi mungkar pula mencegah manusia
daripada melakukan perkara tidak baik. Oleh itu, perkataan dakwah, amar makruf
dan nahi mungkar selalu digunakan merujuk kepada mengajak manusia ke arah
kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.
Dalam karya fiqh klasik, istilah amar makruf nahi mungkar,
jihad dan dakwah sering kali digunakan untuk merujuk kepada maksud yang sama.
Dalam al-Quran, perkataan amar makruf dan nahi mungkar digunakan
sekurang-kurangnya lapan kali.
Semua merujuk kepada tanggungjawab kolektif setiap Muslim
dalam melaksanakan kewajipan itu.
Firman Allah yang bermaksud:
"Hendaklah terdapat antara kamu segolongan yang menyeru
dengan kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Itulah golongan yang
berjaya."
(Surah Ali-Imran, ayat 104)
Amar Makruf
Kewajipan Muslim melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar
sebagai tugas dakwah juga disebut dalam hadis yang bermaksud:
"Siapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia
mengubahnya (taghyir) dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mengubahnya
dengan lidah, jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan yang
demikian itu adalah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW menggunakan istilah taghyir yang bermaksud
kewajipan untuk mengubah perkara tidak baik kepada yang lebih baik dan mencegah
sesuatu kemungkaran daripada berlaku. Hadis itu juga menunjukkan setiap Muslim
harus melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar secara berperingkat. Pertama,
ialah dengan tindakan; kedua dengan perkataan; ketiga dengan hati. Berdasarkan
hujah itu, perkataan dakwah mencakupi perbuatan amar makruf dan nahi mungkar
kerana amar makruf ialah ajakan melakukan amalan baik, manakala nahi mungkar
ajakan menjauhi perbuatan tidak baik.
Dakwah
Realiti masyarakat Islam sekarang, ada pelbagai sebab kenapa
dakwah itu menjadi tuntutan ke atas setiap individu Muslim. Antaranya, memberi
pendidikan terhadap akhlak dan moral; pendidikan akidah dan sebarang aspek
penyelewengan; pendidikan aspek pemikiran barat dan cara menanganinya dan
pendidikan pentingnya peranan ilmu dan perpaduan di kalangan umat Islam.
Dakwah juga hendaklah disesuaikan dengan keadaan masyarakat
dan semasa. Oleh kerana kita berdakwah dalam masyarakat maka pemahaman
berkaitan masyarakat yang ingin diajak adalah perlu. Penyelidikan juga harus
dilakukan untuk memahami budaya dan cara hidup mereka.
Berdasarkan beberapa pendapat ulama, golongan manusia
berkewajipan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar ialah orang Islam.
Selain itu, ada beberapa syarat tambahan iaitu seorang yang mukalaf, mempunyai
akhlak baik supaya tugas dakwah dilaksanakan memberi impak positif.
Antaranya, mestilah mempunyai kemampuan dan pengetahuan
(untuk membezakan antara perkara baik dan salah) dan wujud kerjasama antara
masyarakat dengan pihak berkuasa.
Prinsip
Secara prinsipnya. manusia ialah sumber pembangunan ekonomi
negara, sosial, budaya dan akhlak. Manusia bukan saja memiliki sumber
pengetahuan, saintifik, teknologi, teknikal dan vokasional tetapi lebih
mustahak lagi ialah agama dan moral.
Masalah yang sering dihadapi umat Islam dalam menjalankan
amar makruf dan nahi mungkar ialah masalah manusia. Masalah manusia tidak
bermaksud masalah tidak cekap ketika menjalankan kewajipan saja, tetapi masalah
kefahaman, konsisten dan komitmen.
Manusia yang mempunyai kelayakan akademik dan kemahiran
profesional boleh menjadi tidak cekap dan telus menjalankan amar makruf dan
nahi mungkar jika tidak mempunyai kebijaksanaan serta komitmen tinggi. Perkara
mungkar boleh jadi tidak dapat dicegah jika manusia yang bertugas menghalangnya
tidak benar bertanggungjawab, tidak diberi kepercayaan dan tidak bijaksana.
Banyak pihak sudah mengetahui bagaimana sesebuah badan dakwah mengalami krisis
keyakinan dan kepercayaan disebabkan orang yang terbabit dalam tugas amar
makruf dan nahi mungkar itu tidak berilmu dan berkelayakan.
Mereka boleh jadi mempunyai kelayakan akademik dan
pengalaman dalam hal ehwal agama Islam, tetapi tidak mempunyai ciri pendakwah
atau pelaksana amar makruf dan nahi mungkar yang baik. Mereka mempunyai masalah
kekurangan persiapan diri dengan kemahiran asas dalam teknik komunikasi, kurang
pengetahuan latar belakang sasaran, tidak menggunakan kaedah dakwah yang jelas
dan kurang berjaya menjadi golongan contoh.
Jati Diri
Amar makruf dan nahi mungkar bertujuan membetulkan jati diri
manusia. Ancaman agama, budaya dan kepercayaan tidak akan berjaya memusnahkan
identiti orang Islam jika mereka mampu menentangnya dengan kepercayaan dalaman
yang kuat berprinsipkan nilai Islam. Ada
kalanya usaha manusia untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar menciptakan
peraturan tambahan yang tidak wajib, malah menyusahkan pula. Selain itu, hal
yang perlu diberi perhatian ialah proses amar makruf dan nahi mungkar mesti
berjalan seiringan.
Tidak boleh manusia berusaha menghukum atau mendisiplinkan
masyarakat dan pada masa sama membiarkan budaya dan perlakuan tidak bermoral
disebarkan melalui media massa. Masalah sosial dan akhlak ini tidak akan jika
asyik melancarkan gerakan kilat dan mengejut untuk mencegah gejalanya, tetapi
tidak membetulkan sistem yang melahirkan punca timbulnya pelbagai masalah
sosial.
Modal yang perlu ada pada setiap pendakwah ialah modal
agama, pendidikan yang betul dan kebijaksanaan selain mempunyai rasa tanggungjawab
untuk mengetahui tabiat manusia, masyarakat dan alam sekitar serta mempunyai
kesungguhan meneroka disiplin ilmu sesuai aktiviti dakwahnya. Pendakwah atau
petugas amar makruf dan nahi munkar mesti berusaha menerapkan pembawaan
sederhana, bersikap mencegah bukannya menghukum dan berupaya bercakap dalam
bahasa moden sesuai dengan sasaran.
No comments:
Post a Comment