WAJIB MENUNTUT ILMU AGAMA DAN KELEBIHANNYA
Firman Allah Taala, maksudnya: ".. bertanyalah kamu
kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak
mengetahuinya." (43, An-Nahl dan 7, Al-Anbia').
Hadis Kedua Puluh
20- عَنْ
أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ
عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ. (ابن
ماجه وغيره)
20 - Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w.
bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap
seorang Islam."
(Ibnu Majah dan Lain-lainnya).
Hadis yang kedua puluh ini mewajibkan tiap-tiap orang Islam
- lelaki dan perempuan - mempelajari ilmu agama.
Huraiannya:
Oleh kerana sesuatu pekerjaan dari yang sekecil-kecilnya
hingga yang sebesar-besarnya tidak dapat dilakukan dengan teratur dan sempurna
melainkan dengan ilmu pengetahuan yang berkenaan dengannya, maka nyatalah
wajibnya seseorang mempelajari hukum dan peraturan Islam bagi apa sahaja
perkara yang hendak dilakukannya sebagai wajib fardu ain.
Menurut kitab Al-Furuq dan "Tahzib al-Furuq"
bahawa Imam Ghazali dalam kitabnya "Ihya-'Ulumuddin" dan Imam
Asy-Syafi'i dalam kitabnya "Ar-Risalah" menerangkan; Bahawa telah sekata alim ulama, tidak harus
seseorang cuba melakukan sesuatu perkara sehingga ia mengetahui lebih dahulu
hukum-hukum Allah mengenai perkara yang hendak dilakukannya itu; - orang yang
hendak berjual beli wajib mempelajari hukum Allah mengenainya dan orang yang
hendak menyewa, memberi sewa, mengupah dan mengambil upah wajib mempelajari
hukum Allah mengenainya. Demikian juga orang yang hendak sembahyang wajib
mempelajari hukum Allah mengenal sembahyang. Demikian seterusnya segala
perkataan yang hendak dikatakan dan segala amal yang hendak dikerjakan. Maka
sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan beramal menurut apa yang diketahuinya,
sudah tentu ia telah mentaati Allah dengan dua taat dan sesiapa yang tidak
mengetahui dan tidak pula beramal, sudah tentu ta telah menderhaka kepada Allah
dengan dua kederhakaan; dan sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan tidak
beramal mengikutNya, maka ia telah mentaati Allah dengan satu taat dan
menderhaka kepadaNya dengan satu kederhakaan.
Sayugia diingat, bahawa ilmu agama itu bukan satu perkara
yang mudah didapati bahkan mestilah dipelajari dan diterima dari orang Islam
yang betul-betul dan sah ilmunya serta jujur dan adil dalam penyampaiannya,
sebagaimana yang diterangkan dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:
"Sesungguhnya ilmu yang sah dan muktabar itu tidak akan dapat dicapai
melainkan dengan dipelajari dari guru"; bukan semata-mata dari buku-buku,
lebih-lebih lagi yang dikarang oleh orang-orang orientalis, yang kebanyakannya menghidangkan madu
bercampur racun.
No comments:
Post a Comment