عن ابن عمر رضي
الله عنهما قال: أخذ
رسول الله صلى الله
عليه وسلم بمنكبي فقال:
كن في الدّنيا كأنّك
غريب أو عابر سبيل
Ertinya: Daripada Ibn Umar r.a., beliau berkata: Rasullah
s.a.w. memegang bahuku lalu bersabda: "Jadilah kamu di dunia ini seperti
seorang pengembara atau perantau di jalan".
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari.
Menurut Syarah Sunan Ibn Majah,
Memutuskan pergantungan diri terhadap dunia melainkan pada
perkara yang diperlukan untuk tujuan bermusafir dan tiba ke destinasi yang
dituju. Destinasi bagi kehidupan ini ialah kubur. Sesungguhnya mati sekalipun
masih jauh sebenarnya ia adalah dekat.
Hidup di dunia bukannya lama tetapi hanya sementara. Kita
umpama pengembara di dalam hadis di atas, maka bawalah watak kita di dunia ini
sebagai pengembara yang mencari kebaikan yang terdapat di dunia untuk
dimanfaatkan kepada diri dan masyarakat. Tetapi bukannya dicari keburukannya
untuk dihadap kepada diri dan masyarakat. Sedarlah akan singkatnya waktu yang
kita miliki. Maka, wajarlah bermuhasabah diri kita ini sebagai seorang
pengembara!
Oleh demikian, harus bagi kita berada di dunia ini untuk
memperbanyakkan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah dan beribadah
kepadaNya agar amalan diterima. Tetapi haruslah amalan-amalan yang dilakukan
itu tsabit daripada Nabi s.a.w. dan bukannya yang direka atau ditokok tambah.
Kerana Nabi s.a.w. pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Aisyah r.ha:
عن عائشة رضي الله
عنها عن النبي صلى
الله عليه وسلم قال:
من احدث في أمرنا
هذا ما ليس منه
فهو رد
Ertinya: Daripada Aisyah r.ha., Nabi s.a.w. bersabda:
"Sesiapa yang mengadakan perkara baru yang tiada di dalam agama Islam,
maka ia adalah ditolak."
Hadis ini diriwayat oleh Bukhari dan Muslim.
Maka, dengan itu marilah kita sama-sama meningkatkan kualiti
ibadah kita dari segi doa dan zikir kerana inilah kekuatan senjata orang
mukmin. Marilah juga mengamalkan perkara-perkara sunnah yang dianjurkan oleh
Rasullah s.a.w. yang terkandung banyaknya di dalam hadis-hadis sahih.
No comments:
Post a Comment